Nilam - iNilam

Nilam
Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) merupakan penggabungan atau adunan kesemua aktiviti galakan membaca yang dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai.
  • Merangkumi rancangan membina tabiat membaca secara terancang dan berterusan.
  • Melalui aktiviti-aktiviti galakan membaca di sekolah.
  • Merupakan program penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun.
  • Program ini telah mula dilaksanakan dengan Tahun Satu di Sekolah Rendah, Tingkatan Satu dan Peralihan di Sekolah Menengah pada 1999.
  • Mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 13/1998 bertarikh 22 Mei 1998
Matlamat
Satu strategi untuk menanam minat membaca secara terancang dan tersusun dikalangan rakyat Malaysia, khususnya murid sekolah sehingga wujudnya tabiat membaca dan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia.

Objektif
  • Menjadikan murid banyak membaca (semua bidang, bahan berkualiti, pelbagai genre & bukan bahan pembacaan yang berorientasikan peperiksaan sahaja)
  • Menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca ini.
Pelaksanaan
  • Rekod Bacaan (buku rekod murid)
  • Borang Rekod (penilaian guru)
  • Pengiktirafan (ganjaran ikut tahap)
Tahap Pelaksanaan
Pelaksanaan Program NILAM dibahagikan kepada dua tahap:


1. Tahap Jauhari
Membaca banyak buku & direkodkan (bil / tajuk / penulis / ringkasan) 

Sekolah Rendah
Murid-murid pada peringkat ini wajib melibatkan diri dengan banyak membaca sebaik sahaja mereka tahu membaca dan mula belajar (Pertengahan Tahun dalam Tahun Satu). 
BILANGAN BUKU
PENGIKTIRAFAN
90 - 179
Gangsa
180 - 269
Perak
270 - 359
Emas
360 ke atas
Nilam

Sekolah Menengah
Pelajar pada peringkat menengah pula wajib melibatkan diri dalam aktiviti pembacaan berterusan sebaik sahaja mereka melangkah ke Tingkatan Satu 
BILANGAN BUKU
PENGIKTIRAFAN
72 - 143
Gangsa
144 - 215
Perak
216 - 287
Emas
287 ke atas
Nilam

2. Rakan Pembaca
Sudah membaca 100 buku & jalankan aktiviti pembacaan 

Ciri-ciri Rakan Pembaca
  • sudah membaca lebih dari 100 buah buku dalam Tahap Jauhari.
  • menggalakkan orang lain membaca dengan menjalankan pelbagai aktiviti galakan membaca. 
MARKAH
PENGIKTIRAFAN
100-199
Gangsa
200-299
Perak
300-399
Emas
400 ke atas
Nilam

Aktiviti Rakan Pembaca
Bercerita tentang cerita dari buku yang telah dibaca (rekod) kepada penonton dalam pertandingan (formal), pelbagai bahasa dalam 5-7 minit.
  • Bercerita secara tidak formal seperti kerja amal utk lencana pengakap di rumah kebajikan.
  • Berucap secara tidak formal di dalam kelas (public speaking) semasa proses pengajaran.
Kiraan Pemarkahan

Tahap Rakan Pembaca
 

Aktiviti
Kiraan
Jumlah Markah
Aktiviti bercerita
1 sesi x 5 pendengar
5 markah
1 sesi x 100 pendengar
5 markah



Membaca bersama
1 sesi x 5 pembaca
5 markah
1 sesi x 10 pembaca
5 markah



Bicara / Forum / Ulasan buku
1 sesi x 5 pendengar
5 markah
1 sesi x 100 pendengar
5 markah



Meminjamkan buku (book swap)
1 buku x 2 peminjam
2 markah
1 buku x 5 peminjam
5 markah


i-Nilam

 KERTAS MAKLUMAN
DARIPADA
SEKTOR PENGURUSAN SUMBER PENDIDIKAN
PENGURUSAN PROGRAM NILAM SECARA ATAS TALIAN (I-NILAM)


1. TUJUAN
Kertas ini bertujuan memaklumkan Y. Bhg. Pengarah BTP berkaitan Sistem Automasi Pengurusan Program NILAM secara atas talian (i-NILAM).

2. LATAR BELAKANG 

2.1 Suatu tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat. 

2.2 Program NILAM merupakan satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membina tabiat membaca dalam kalangan murid dengan hasrat mewujudkan budaya membaca dan budaya ilmu dalam kalangan rakyat Malaysia. 

2.3 Pekeliling lkhtisas Bil. 13/1998 bertarikh 22 Mei 1998 telah menyatakan bahawa Program NILAM wajib dijalankan di semua sekolah seluruh negara. Selain itu, usaha ke arah galakan membaca wajar digerakkan untuk menyokong gesaan Kementerian Pelajaran dalam menarik minat murid untuk lebih banyak membaca.

2.4 Sekolah perlu mengadakan aktiviti-aktiviti galakan membaca secara berperingkat dan berterusan meliputi aktiviti asas, aktiviti pemupukan dan aktiviti pengayaan. Justeru, satu strategi yang berkesan perlu dilaksanakan untuk memperhebatkan lagi pencapaian Program NILAM ke tahap yang lebih baik dan menyeluruh. 

2.5 Kecekapan pengurusan program ini terutama dari sudut perancangan, pemantauan dan kutipan data perlu diperkasakan bagi memastikan kejayaan program ini di peringkat Bahagian Teknologi Pendidikan dan rangkaiannya iaitu Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) dan Pusat Kegiatan Guru (PKG) selaku urus setia program ini di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah. 

2.6 Kejayaan program ini turut menyokong hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membangunkan modal insan dan memperkasakan sekolah kebangsaan yang menjadi Teras Kedua dan Ketiga Pelan Pembangunan Induk Pendidikan (2006-2010) dan selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 

3. PERKARA YANG HENDAK DIMAKLUMKAN 

3.1 Pendekatan yang digunakan dalam pelaksanaan Program NILAM perlu menunjukkan kematangan dan kecekapan pengurusan terutamanya dari segi perancangan dan pemantauan memandangkan program ini telah menjangkau 10 tahun. 

3.2 Kutipan data bacaan murid yang masih dilaksanakan secara manual atau separa automasi di peringkat sekolah, PKG, BTPN dan BTP perlu dinaiktaraf agar data dan maklumat dalam bentuk analisis semasa, historikal, trend dan gap dapat digunakan bagi mewujudkan perancangan strategik yang komprehensif dan menepati sasaran dan matlamat program ini. 

3.3 Satu mekanisme pemantauan dan penilaian yang sistematik dan terkini perlu diwujudkan bagi tujuan mengenal pasti status kejayaan program ini di semua peringkat. Fokus utama ialah memastikan keberkesanan dan keberhasilan pelaksanaan program dan aktiviti gerakan tabiat membaca dalam kalangan murid samada di kawasan bandar, luar bandar mahupun pedalaman dan bukan hanya untuk mengenalpasti Tokoh NILAM peringkat sekolah, daerah dan negeri untuk dicalonkan ke peringkat kebangsaan. 

3.4 Dengan wujudnya perubahan dan kepesatan teknologi ICT dalam pendidikan, proses pengumpulan data NILAM boleh dilaksanakan secara atas talian (online), berpusat dan kendiri agar analisis NILAM secara komprehensif dan spesifik dapat dibuat di peringkat BTP, BTPN, PKG dan sekolah. Anjakan pradigma dan transformasi pengurusan maklumat secara bersepadu adalah penting supaya infomasi dapat dikongsi bersama dan menepati objektif dan matlamat program ini. 

3.5 Strategi Perlaksanaan 

3.5.1 Konsep i-NILAM

i-Nilam terdiri daripada komponen berikut.

• Indeks kualiti
• Insan
• Intelek
• Informasi
• Integrasi

3.5.2 i-NILAM merupakan kerangka kerja untuk mengukur Indeks kualiti pencapaian NILAM bagi melahirkan Insan Intelek melalui perkongsian Informasi menggunakan Integrasi sistem secara atas talian (online) dan bersepadu.  

3.5.3 Sistem i-NILAM bertujuan melancar dan mempermudahkan aliran kerja dan proses penilaian dan pemantauan Program NILAM yang dilaksanakan di peringkat sekolah seluruh negara oleh PKG, BTPN dan BTP. 

3.5.4 Hasrat memperkasakan pemantauan Program NILAM ini secara atas talian (online) merupakan satu wadah transformasi Pusat Sumber Sekolah ke arah amalan pengurusan berbentuk digital, sesuai dengan kepesatan ICT masa kini. 

3.5.5 Sistem Automasi NILAM (i-NILAM) adalah sistem sumber terbuka berasaskan web yang dibangunkan mengguna piawaian berasaskan web terkini. Aplikasi dan browser boleh beroperasi menggunakan sebarang platform. Ini jelas menunjukkan pemilihan platform sumber terbuka dapat menjimatkan kos pembangunan dan pelaksanaan sistem pada tahap yang paling optimum. Kini platform sumber terbuka telah memasuki peringkat matang di mana kebanyakan organisasi swasta dan kerajaan akan mempertimbangkannya sebagai alternatif kepada platform lain yang mungkin lebih mahal disebabkan oleh keperluan perlesenan sistem. 

3.5.6 Panduan pengguna turut disediakan secara atas talian bagi memudahkan pihak guru melaksanakan program ini.


Disediakan oleh:
Unit Pengurusan Pusat Sumber
Sektor Pengurusan Sumber Pendidikan
Bahagian Teknologi Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia
Februari 2010


Portal i-Nilam BTP